Cari Post lain disini

Sunday, September 22, 2019

Dakwaan Wang Kertas Mengandungi Lemak Babi Perlu Bukti

21 September 2019 12:12 PM

MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kiri) bersama Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin (tengah) dan Exco Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (kanan) semasa sidang akhbar selepas perasmian Konvensyen Rahmah Perak Darul Ridzuan di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) di Ipoh hari ini.

IPOH 21 Sept. - Dakwaan bahawa wang kertas negara dipercayai mengandungi lemak babi perlu disertakan dengan bukti yang kukuh serta disahkan oleh pihak berkuasa.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, semakan dan penelitian ke atas wang kertas perlu dilakukan terlebih dahulu menerusi analisis makmal.


"Jika sekadar satu dakwaan dan kenyataan, ia perlu kepada penelitian yang kukuh. Saya yakin kerajaan akan mengambil tindakan terbaik dalam menangani perkara ini.

"Buat masa ini, saya tidak mahu ulas apa-apa lagi, namun (wang kertas mengandungi lemak babi) mesti didatangkan dengan bukti dan dalil serta disahkan oleh pihak berkuasa," katanya ketika ditemui pada program Konvensyen Rahmah Perak Darul Ridzuan di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) di sini hari ini.

Pada program tersebut, beliau juga membentangkan kertas kerja yang bertajuk: 'Memperkasakan Kemakmuran Ummat'.

Mengulas lanjut Dr. Zulkifli berkata, sebarang kenyataan yang akan mengeruhkan lagi isu tersebut juga seboleh-bolehnya perlu dielakkan.

Semalam, seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr. Zhari Ismail mendakwa wang kertas negara dipercayai mengandungi lemak babi dan perkara itu dimaklumkan sendiri oleh pihak yang terlibat dalam penghasilan wang berkenaan.

Menerusi laporan dalam portal berita itu, Dr. Zhari memberitahu yang pihaknya telah memaklumkan mengenai perkara tersebut kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tindakan lanjut dan kini sedang menjalankan kajian.-UTUSAN ONLINE

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute