Cari Post lain disini

Thursday, October 15, 2020

Kemudahan Tempahan, Pembayaran Secara Dalam Talian Serta Kemudahan Penghantaran Untuk Jualan Duit Syiling Peringatan UKM50 Dan Putrajaya25

Bank Negara Malaysia pada 12 Oktober 2020 yang lalu telah mengumumkan kemudahan tempahan, pembayaran secara dalam talian serta penghantaran untuk penjualan duit syiling peringatan sempena Ulang Tahun ke-50 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM50) dan Ulang Tahun ke-25 Penubuhan Putrajaya (Putrajaya25) telah dibuka.

Pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) - Online Ordering, Payment and Delivery Facility for Sale of Commemorative Currency Issued by Bank Negara Malaysia

Orang ramai boleh membuat pesanan mereka di https://duit.bnm.gov.my dari Isnin, 12 Oktober 2020 (9.00 pagi) hingga Jumaat, 30 Oktober 2020 (11.00 malam). Sila rujuk maklumat dibawah:

Laman Sesawang (Website) Untuk Tempahan Duit Syiling Peringatan (https://www.duit.bnm.gov.my)

Sekiranya berlaku tempahan berlebihan, undian akan dijalankan. Orang ramai dinasihatkan untuk membuat tempahan melalui sistem dalam talian BNM dan bukan dengan pihak lain atau kemudahan pesanan yang tidak sah. 

Semua pesanan akan dipertimbangkan dan tidak akan ada keutamaan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan dijalankan.

Sekiranya terdapat tempahan yang berlebihan, undian akan dibuat. Semua tempahan akan dipertimbangkan dan tiada keistimewaan diberikan pada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan.

Maklumat mengenai pembayaran, pengumuman tempahan dan kemudahan penghantaran nanti anda boleh rujuk di laman sesawang (website) rasmi  tempahan https://duit.bnm.gov.my.

Pihak BNM telah menetapkan had tempahan untuk tempahan duit syiling peringatan UKM50 dan Putrajaya25. Bagi memudahkan anda, sila rujuk gambar dibawah untuk mengetahun had maksimum tempahan dan harga termasuk SST.

Had Tempahan Dan Harga Termasuk SST Untuk Duit Syiling Peringatan UKM50

Had Tempahan Dan Harga Termasuk SST Untuk Duit Syiling Peringatan Putrajaya25

Tarikh keputusan tempahan pada 12 November 2020

Setiap tempahan yang berjaya akan di hantar kepada pembeli dengan mengunakan perhidmatan penghantaran Pos Laju ke alamat seperti yang pembeli masukkan semasa tempahan iaitu alamat semasa waktu pejabat biasa

Berdasarkan apa yang mykoleksi baca melalui perkongsian facebook, rata-rata peminat dunia hobi numismatik setuju dengan kemudahan tempahan dan pembayaran tetapi mereka tidak bersetuju dengan caj atau kos penghantaran yang dikenakan oleh pihak BNM. Bagi mereka kos yang dikenakan terlalu tinggi dan tidak masuk akal sehinggakan ada mengambil langkah tidak mahu membeli duit syiling peringatan tersebut sekarang. 

Sekiranya pembeli berjaya untuk semua tempahan (had maksimum) bagi kedua-dua duit syiling peringatan, pembeli perlu membayar caj penghantaran sebanyak RM177.15. Caj tersebut tidak dinyatakan dengan jelas oleh BNM, pembeli tidak tahu samada ianya dikira berdasarkan kepada berat dan tempat duit syiling tersebut bakal dihantar atau bagaimana. 

Jika ditambah caj penghantaran dengan jumlah harga duit syiling (RM 1195.00) dan SST (RM119.50), jumlah keseluruhan yang pembeli perlu bayar adalah RM1491.65. Kita boleh menganggap caj pemnghantaran bagi 1 item yang ditempah tanpa mengira berat, saiz dan tempat dihantar RM11.81 (RM177.15/15).

Caj Penghantaran Bagi Maksimum Pembelian Tanpa Merujuk Kepada Berat Dan Tempat Penghantaran Sebanyak RM177.15

Pihak BNM sewajarnya memberi pilihan kepada pembeli untuk mengambil sendiri duit syiling peringatan tersebut di mana-mana cawangan Bank Negara Malaysia (BNM) terdekat seperti sebelum ini. Kesian bagi pembeli yang tinggal atau bekerja di sekitar BNM dan cawangan yang terpaksa juga menanggung kos penghantaran yang mahal, diskaun pun tidak diberi walaupun pembelian yang dibuat banyak.

Sememang kita semua sudah sedia maklum yang Malaysia kini sedang "berperang" dengan pandemik COVID-19 tetapi pihak BNM tidak boleh menjadikan alasan tersebut untuk meletakkan syarat penghantaran duit syiling peringatan mesti dibuat melalui perkhidmatan pos laju dengan mengenakan caj penghantaran yang tinggi daripada sepatutnya. 

Standard Operating Procedures (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh di rujukan oleh pihak BNM supaya proses pengambilan duit syiling di ibupejabat dan cawangan BNM dapat dijalankan dengan tersusun dan sempurna. Peminat dunia hobi numismatik ni bagus dan mendengar kata, in sha Allah semua akan berjalan lancar.

Sekiranya pihak BNM masih berpegang dengan cara penghantaran melalui perkhidmatan pos, mohon mempertimbangkan semula kadar caj penghantaran dan membuat "u-turn" supaya menjadi lebih relevan dan kompetitif. 

Sekiranya pihak BNM tidak mempunyai idea, mykoleksi cadangkan merujuk kepada mereka yang lebih arif dalam urusniaga secara dalam talian (online) contohnya Lazada dan Shopee untuk mengetahui bagaimana cara yang sepatutnya dibuat bagi menetapkan caj penghantaran mereka bagi setiap barangan yang dibeli pelanggan sehinggakan boleh memberi caj atau kos penghantaran percuma.

Mendapat nasihat daripada orang yang mahir dan berpengetahuan tentang selok-belok dalam perniagaan dalam talian adalah lebih baik, walaupun kadang-kadang bayaran yang dikenakan mahal tetapi idea dan maklumat yang diberi adalah yang terbaik. Jangan jadi seperti Sadiq Segaraga yang mejadikan Kassim Patalon sebagai penasihat 25%, akhir sekali dia sendiri yang menanggung akibat.

Sadiq Segaraga Mendapat Nasihat Daripada Kassim Patalon Sebagai Penasihat 25%

Bagi mendapat kepastian, mykoleksi secara rawak menyemak caj penghantaran yang dikenakan oleh Pos Malaysia bagi barangan yang dihantar dengan mengambil contoh berat 2kg dan "parcel" untuk penghantaran domestik (06100 - Kodiang) dan antarabangsa (Zimbabwe).

Caj Penghantaran Domestik Dengan Anggaran RM14.44

Caj Penghantaran Antarabangsa Dengan Anggaran RM188.00 (Parcel Air) & RM141.00 (Parcel Surface)

Adakah caj penghantaran untuk contoh tersebut mahal? 

Jika kita lihat dari segi berat (2kg) dan tempat yang dihantar, rasanya harga tersebut masih lagi boleh diterima. Namun ada lagi satu persoalan yang bermain di fikiran mykoleksi, Pos Malaysia ada mengeluarkan “PANDUAN BARANGAN YANG DILARANG UNTUK PENGEPOSAN” yang diantaranya tersenarai dalam larangan tersebut adalah wang syiling, wang kertas, bullion, kad kredit dan Instrumen Pembawa Boleh Niaga.

Panduan Barangan Yang Dilarang Untuk Pengeposan - Pos Malaysia

Persoalannya disini, bolehkah duit syiling peringatan dihantar melalui perkhidmatan pos (khasnya Pos Laju)? 

Adakah ianya tidak melanggar peraturan dan amalan terbaik dalam negara dan antarabangsa untuk pengendali pos dan kurier, dan menurut Peraturan Pejabat Pos 1947 yang menentukan pengendalian dan/atau penghantaran barang pengeposan adalah salah di sisi undang-undang untuk menggunakan rangkaian penghantaran Pos Malaysia untuk menghantar barang larangan (salah satu) seperti yang mykoleksi nyatakan tadi.

Sekiranya item tersebut rosak atau hilang, adakah pihak Pos Malaysia akan bertanggungjawab sepenuhnya sedangkan kita sudah sedia maklum yang duit syiling peringatan tergolong dalam salah satu daripada 10 larangan tersebut.

Persoalan yang sama juga mykoleksi utarakan dalam artikel di facebook bertajuk "HOBI KAMI DAH JADI MAHAL GARA-GARA KOS PENGHANTARAN", sila rujuk pautan ini https://www.facebook.com/mykoleksi/posts/5349168195109287

Ini baru cerita bab caj penghantaran, kalau masuk cerita duit syiling yang dihantar tidak sampai atau rosak lagilah pening kepala nak uruskan nanti. Apa yang mykoleksi harapkan sekarang adalah pihak BNM dapat membuat keputusan bijak berdasarkan apa yang telah dikongsikan ini.

Apa yang dilakukan oleh pihak BNM boleh merencatkan lagi pertumbuhan dunia hobi numismatik yang semakin suram. Mungkin apa yang dilakukan bersebab tetapi biarlah ianya boleh diterima akal dan jelas supaya semua orang boleh faham.

Kami peminat dunia hobi numismatik hanya mampu menadah tangan dan berdoa kepada Allah semoga pihak BNM mendapat hidayah dan kembali ke jalan yang benar. Kami masih mengharap keajaiban dan berita gembira diumumkan oleh pihak BNM sebelum tarikh akhir tempahan duit syiling peringatan 30 Oktober 2020 (11.00 malam).

Yang bukan penasihat 25%,
mykoleksi

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute