Cari Post lain disini

Wednesday, November 3, 2021

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena Dengan Sambutan Ulang Tahun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ke-75

Embargo : Untuk siaran segera
02 Nov 2021

Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ke-75.

Duit syiling peringatan yang dilancarkan oleh YBhg. Dato' Zailani Hj.Hashim, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia ini akan dikeluarkan dalam dua denominasi:

1. Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf)

Duit syiling yang diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 ini mempunyai berat 31 gram setiap satu. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dengan harga jualan RM253 sekeping. Sejumlah 1,000 keping telah ditempa.

2. Duit Syiling Peringtatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Duit syiling yang diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain ini mempunyai berat 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dengan harga jualan RM13.20 sekeping. Sejumlah 10,000 keping telah ditempa.

Marzunisham Omar, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia berkata, "Kami berbesar hati mengeluarkan duit syiling peringatan yang direka khas bagi memperingati ulang tahun JPJ yang ke-75. Reka bentuk ini menyingkap secara unik inti pati warisan dan sejarah kebanggaan JPJ. Duit syiling ini juga meraikan semangat dan komitmen JPJ terhadap keselamatan jalan raya di Malaysia."

Reka Bentuk Duit Syiling

Reka bentuk duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:


Bahagian Hadapan

Tulisan "JABATAN PENGANGKUTAN JALAN" dipaparkan pada sisi bahagian atas duit syiling. Imej pelekat cukai jalan dengan nombor plat JPJ 75 menyorot fungsi utama JPJ dalam mengawal selia pendaftaran dan pelesenan kenderaan motor. Imej stereng kenderaan dengan logo JPJ pada bahagian tengah duit syiling pula menggambarkan kawalan dan hala tuju agensi untuk terus mara ke hadapan.



Bahagian Belakang

Tulisan "BANK NEGARA MALAYSIA" sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada sisi bahagian atas duit syiling. Logo rasmi sambutan JPJ75 dipaparkan pada bahagian tengah berlatarbelakangkan reka bentuk papan litar. Rekaan ini merupakan simbol hala tuju JPJ ke arah pemodenan dan pendigitalan. Slogan rasmi sambutan, iaitu "DIGITALISASI MELESTARI INTEGRITI" diletakkan di bawah logo sambutan, manakala nilai muka 10 RINGGIT dan 1 RINGGIT masing-masing tertera pada sisi bahagian bawah duit syiling.

Terdapat juga duit syiling peringatan set 2 dalam 1 untuk jualan. Set ini berharga RM308 termasuk 10% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Setiap set mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling emas Nordic pruf. Sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelian. Butiran terperinci mengenai kesemua duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran I.

Jualan duit syiling peringatan

Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu set 2 dalam 1, satu keping duit syiling perak sterling berwarna (pruf) dan maksimum hingga lima keping duit syiling emas Nodic (B.U). Sekiranya berlaku tempahan yang berlebihan, pengundian akan dilakukan. Maklumat lanjut tentang pesanan, pembayaran dan penghantaran akan dimaklumkan kepada orang ramai melalui pengumuman menerusi laman web BNM pada 17 November 2021.

Lampiran I – Spesifikasi Teknikal


Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk 10% SST

Bank Negara Malaysia
02 Nov 2021 

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute