Cari Post lain disini

Friday, December 23, 2022

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena dengan Ulang Tahun Ke-100 Gerakan Koperasi di Malaysia

Embargo : Untuk siaran segera
23 Dis 2022

Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-100 Gerakan Koperasi di Malaysia. 

Duit syiling peringatan ini akan dikeluarkan dalam dua denominasi: 

1. Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf)

Duit syiling ini mempunyai berat 31 gram dan diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM385 sekeping. Sejumlah 1,000 keping telah ditempa. 

2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain, duit syiling ini mempunyai berat 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempa.  

Duit syiling peringatan ini juga tersedia dalam bentuk Set 2 dalam 1 untuk jualan pada harga RM440. Setiap set mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic. Sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelian. 

Butiran terperinci mengenai kesemua duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran.

Reka bentuk duit syiling 

Reka bentuk duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut: 
Bahagian Hadapan
  
Bahagian hadapan duit syiling memaparkan perkataan “co-op” dalam bentuk dua simbol lingkaran infiniti yang melambangkan pelbagai cara koperasi memberikan sumbangan dalam usaha membina negara. Ikon yang dimuatkan dalam setiap huruf menggambarkan langkah-langkah berbeza yang diambil oleh koperasi yang membantu menambah baik kehidupan dan meningkatkan taraf hidup ahlinya. 
Bahagian Belakang 

Nama BANK NEGARA MALAYSIA sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada sekeliling bahagian atas duit syiling, manakala logo peristiwa dipaparkan pada bahagian kiri (duit syiling perak sterling mengandungi logo berwarna). Alunan ombak menyerong pada latar belakang syiling melambangkan perkembangan gerakan koperasi sepanjang tempoh 100 tahun. Nilai muka “10 RINGGIT” dan “1 RINGGIT” pula dipaparkan pada sekeliling bawah duit syiling. 

Jualan duit syiling peringatan 

Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu keping duit syiling perak sterling berwarna (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.). 

Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my mulai 10.00 pagi Jumaat, 23 Disember 2022 hingga 11.00 malam Ahad, 8 Januari 2023. 

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian Bank Negara Malaysia sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah. Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya berlaku tempahan yang berlebihan, pengundian akan dilakukan. 
 
Lampiran: Spesifikasi Teknikal 


Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk 10% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Services Tax, SST). 

Bank Negara Malaysia
23 Disember 2022

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute