Cari Post lain disini

Saturday, July 31, 2010

Nelayan Mahu Jual Duit Syiling Lama

KUALA KRAU 21 Julai - Seorang nelayan sungai dari Kampung Kerai di sini berhasrat menjual dua keping duit syiling lama yang dipercayai berusia lebih 100 tahun kepada pihak yang berminat mengumpul koleksi barang lama.

Menurut Zamri Mohamed, 37, syiling berkenaan ditemui kira-kira tiga tahun lalu ketika mencari udang di Sungai Pahang bersama seorang rakan sekampungnya.

Menurutnya, sewaktu menyelam, dia menemui kira-kira 15 keping syiling lama tetapi hanya sempat mengambil tiga keping kerana arus sungai terlalu deras.

"Duit syiling yang masih ada pada saya ini dikeluarkan pada tahun 1898 dan 1901. Sekeping syiling dikeluarkan pada tahun 1702 hilang beberapa bulan lalu kerana saya menyimpannya di luar rumah," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Menurutnya, kedua-dua syiling itu dikeluarkan pada zaman Queen Victoria bernilai satu sen setiap satu.

Katanya, saiznya sama dengan duit syiling lima puluh sen tempatan pada masa ini tetapi ia lebih ringan dan berwarna perang.

Menurutnya, beberapa tahun lalu dia menolak tawaran seorang pengumpul koleksi duit lama yang mahu membeli salah satu daripada koleksinya dengan harga RM500.

Malah, ujarnya, dia juga pernah ditawarkan sejumlah wang yang banyak jika bekerjasama dengan seorang lelaki memuja nombor ekor menggunakan duit syiling yang ditemuinya.

''Saya kesal dengan sikap segelintir orang Melayu yang cuba mengambil kesempatan untuk melakukan perbuatan syirik dengan memuja duit berkenaan," tegasnya.

Sehubungan itu, Zamri berharap jika ada yang berminat membeli duit syiling itu supaya tidak menggunakan untuk tujuan khurafat seperti memuja nombor ekor.

Mereka yang berminat membeli syiling itu boleh menghubungi Zamri di nombor 013-9837739 atau terus ke rumahnya di Kampung Kerai.


Sumber Asal: Utusan Malaysia Online, 22 Julai 2010

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute