Cari Post lain disini

Wednesday, September 29, 2010

Agong lancar sambutan ulang tahun ke-50 Bunga Raya Khamis depan


2010/09/24

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin akan melancarkan majlis sambutan meraikan ulang tahun ke-50 Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan di Kompleks Kraftangan, Jalan Conlay, Khamis ini.

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dalam satu kenyataan di sini, berkata acara yang julung kali diadakan itu diharapkan dapat memupuk kesedaran dan kefahaman rakyat mengenai Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan.


Sempena sambutan tersebut, wang syiling khas yang dikeluarkan oleh Bank Negara dan setem istimewa yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia serta lagu tema Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan negara akan dilancarkan.

Katanya, sambutan itu diadakan memandangkan ramai rakyat Malaysia kini tidak menyedari Bunga Raya adalah bunga kebangsaan negara yang juga salah satu simbol negara, berbanding pemahaman rakyat mengenai Jalur Gemilang dan Negaraku yang mana bendera dan lagu kebangsaan negara.


Populariti Bunga Raya dilihat semakin menurun jika dibandingkan dengan apresiasi rakyat terhadap bunga kebangsaan itu sekitar 20 tahun lalu.

“Sambutan ulang tahun Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan diharapkan dapat membantu masyarakat memperingati dan mengetahui kedudukan bunga kebangsaan itu terutamanya generasi muda,” katanya.

Mengimbau sejarah pemilihan Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan, terdapat tujuh jenis bunga yang dicadangkan untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan sejurus negara merdeka pada 1957 iaitu Kenanga, Melur, Teratai, Mawar, Cempaka, Bunga Tanjung dan Bunga Raya.
Namun, selepas melalui proses pemilihan yang ketat, Bunga Raya atau nama saintifiknya Hibiscus Rosa-Sinensis diisytiharkan sebagai bunga kebangsaan pada 28 Julai 1960 oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Kelebihan Bunga Raya yang memiliki kelopak yang besar, lebar dan melentur, nama Bunga Raya yang diberikan oleh orang-orang tua Melayu sejak dulu lagi serta dikenali dengan satu nama saja di seluruh negeri di Tanah Melayu, adalah faktor yang mendorong Bunga Raya dipilih sebagai bunga kebangsaan sehingga ke hari ini.

Selain itu, sifatnya yang memiliki lima kelopak dikaitkan dengan lima prinsip Rukun Negara, diperkenalkan pada tahun 1970, yang menjadi tunjang utama dalam penyatuan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama di negara ini.

Selepas dinobatkan sebagai bunga kebangsaan, Bunga Raya terus menjadi inspirasi dalam membentuk identiti negara yang melambangkan kemegahan negara.

Nama dan rupa bentuk Bunga Raya dijadikan simbol dan perlembagaan negara sebagaimana yang terdapat dalam Jata Negara, malah nama Bunga Raya turut diabadikan di beberapa tempat dan bangunan penting seperti Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan bagi memartabatkan bunga kebangsaan ini antaranya Jabatan Landskap Negara mengeluarkan satu Panduan Teknik Bilangan 1 berhubung penanaman Bunga Raya di seluruh negara bagi menggalakkan orang ramai menanam Bunga Raya sebagai hobi.

Sebagai bunga kebangsaan, Bunga Raya didaftarkan sebagai objek warisan negara di bawah kategori Objek Warisan Ketara pada tahun 2007, sebagaimana yang termaktub dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005. - Bernama

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute