Cari Post lain disini

Sunday, December 11, 2011

Bank Negara Malaysia Melancarkan Perkhidmatan LINK Bergerak

Gambar - Bernama

Bank Negara Malaysia hari ini melancarkan perkhidmatan LINK Bergerak atau "MobileLINK" untuk pelanggan dalam usaha memberikan akses dan peluang yang lebih meluas kepada orang ramai untuk berurusan dengan Bank Negara Malaysia. Majlis pelancaran MobileLINK yang diadakan di Sasana Kijang ini merupakan sebahagian daripada usaha Bank untuk menggalakkan rangkuman kewangan dengan meluaskan lagi jangkauan kepada masyarakat. Perkhidmatan ini melengkapi saluran perkhidmatan LINK (Laman Informasi Nasihat dan Khidmat) yang sedia ada di ibu pejabat Bank Negara Malaysia dan lima pejabat cawangan; pusat perhubungan khidmat pelanggan, BNMTELELINK (1-300-88-5465) dan kaunter perkhidmatan bergerak BNMLINK di kawasan semi bandar. 


MobileLINK meluaskan perkhidmatan khidmat nasihat BNMLINK dengan menggunakan koc yang ditempah khas dan dilengkapi dengan kemudahan serta teknologi sokongan. Selain meningkatkan akses perkhidmatan perbankan asas kepada orang ramai melalui kerjasama dengan institusi-institusi kewangan, MobileLINK juga memberikan khidmat nasihat perbankan, insurans dan takaful serta hal-hal berkaitan dengan pembiayaan PKS; maklumat mengenai kredit peribadi melalui Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), maklumat mengenai Bank Negara Malaysia melalui terminal berasaskan web layan diri yang disediakan dalam koc; dan khidmat nasihat tentang perkara berkaitan dengan kewangan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia.


Perkhidmatan MobileLINK akan bermula pada 17 Disember 2011 dari Mersing, Johor dan kemudian meneruskan perkhidmatannya ke kawasan semi bandar dan luar bandar lain di seluruh Malaysia. Untuk maklumat lanjut tentang jadual perkhidmatan dan destinasi MobileLINK, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my atau laman Facebook Bank Negara Malaysia di www.facebook.com/bnm.official

Bank Negara Malaysia
9 Disember 2011

Sumber: Website BNM

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute