Cari Post lain disini

Tuesday, July 3, 2018

Apakah yang Telah Berlaku di Sasana Kijang Pada 30 Jun 2018?

Peminat Numsimatik Sedang Beratur untuk Mengambil Nombor Giliran - sumber gambar: Facebook

Pada 30 Jun 2018 (Sabtu) yang lepas, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengadakan jualan bagi wang kertas dan duit syiling peringatan di Sasana Kijang, berikut adalah senarainya:
  1. Wang kertas peringatan RM60 bersempena dengan Ulang Tahun Ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (RM60 MRR)
  2. Duit syiling peringatan Emas Nordic bersempena dengan Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V (Pertabalan Agong XV)
  3. Duit syiling peringatan Emas Nordic bersempena dengan Ulang Tahun Ke-60 Arkib Negara Malaysia (Ulang Tahun ke-60 Arkib)
Pengumuman tersebut dibuat melalui laman sesawang (website) rasmi BNM bertujuan untuk memberi peluang kepada mereka yang belum memiliki atau yang tidak sempat mendaftar semasa undian terdahulu mendapatkannya sebagai koleksi (sepatutnya lah). mykoleksi difahamkan sehingga kini wang kertas peringatan RM60 MRR dan duit syiling peringatan emas nordic (Pertabalan Agong XV dan Ulang Tahun ke-60 Arkib) belum habis dijual atau tidak dituntut oleh pembeli.

Untuk makluman anda, sebelum ini pihak BNM pernah mengadakan jualan wang kertas peringatan RM60 MRR dan duit syiling peringatan Ulang Tahun ke-60 Arkib) pada 5 Mac 2018 tetapi sambutan yang diterima tidak menggalakkan. Kenapa?

Berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh kawan-kawan Numismatik (mykoleksi tidak pergi), ada pembeli yang beratur awal pagi 30 Jun 2018 (pukul 12.01am rasanya). Kalau betul pun, perkara ini tidak memeranjatkan mykoleksi kerana ia sesuatu yang biasa berlaku bila pihak BNM mengadakan jualan duit syiling peringatan cara 'oldskool'.

Menurut sumber juga, rupanya masih ada lagi pihak yang TIDAK BERTANGGUNGJAWAB mewujudkan kembali nombor giliran ‘HARAM’ seperti yang pernah berlaku hampir 4 tahun lalu bagi memastikan mereka menjadi orang terawal mendapat wang kertas dan duit syiling peringatan yang dijual oleh BNM, mykoleksi tidak mahu mengulas lanjut berkenaan perkara tersebut. mykoleksi pernah menulis dengan panjang lebar dalam artikel bertajuk 27 Jun 2014 - Hari Itu Dalam Sejarah di Sasana Kijang

Nampaknya pihak BNM masih lagi tidak belajar dengan apa yang pernah berlaku sepanjang penglibatannya dalam menguruskan acara jualan wang kertas dan duit syiling peringatan. Masih lagi tiada tindakan tegas diambil kepada mereka yang suka menyusahkan orang lain dengan mengadakan nombor giliran 'HARAM'.

mykoleksi hanya mampu untuk meluahkan rasa kecewa dengan apa yang berlaku didalam blog ini, sekiranya ada cara lain yang boleh disampaikan terus kepada pihak BNM dengan lebih berkesan harap maklumkan kepada mykoleksi.

Bangunlah wahai pihak BNM, buka mata dan belajarlah dari apa yang pernah berlaku. Jangan biarkan ianya menjadi sejarah tanpa kita berusaha untuk memperbaikinya kearah yang lebih BAIK.

Bila ada nombor giliran ‘HARAM’ secara automatik akan menyumbang kepada masalah potong barisan dan seterusnya membawa kepada pergaduhan kecil disebabkan rasa tidak puas hati pembeli lain. mykoleksi difahamkan memang ada sedikit pergaduhan kecil berkaitan dengan potong barisan semasa beratur tapi nasib baik dapat diselesaikan dengan aman, mykoleksi tidak pasti samada ianya melibatkan nombor giliran 'HARAM' ataupun tidak.

Merujuk gambar yang dikongsi di Facebook, semakin ramai pembeli yang datang beratur selepas pukul 7.00 pagi dan jumlahnya semakin meningkat.

Susana di luar Sasana Kijang, BNM lebih kurang dalam pukul 11.00pagi - sumber gambar: Facebook

Jauh Lagi Perjalanan Pembeli untuk Mendapat Koleksi Idaman - sumber gambar: Facebook

Pihak BNM mula mengedarkan nombor giliran yang mempunyai cop rasmi BNM pada jam 9.00 pagi, berdasarkan pemerhatian mykoleksi terdapat 3 ‘variety’ nombor giliran yang dikeluarkan mengikut masa.

Terdapat 3 'Variety' Nombor Giliran BNM Mengikut Masa - sumber gambar: Facebook

Setelah nombor giliran BNM diambil oleh pembeli, tangan mereka akan dicop menggunakan dakwat merah (dah macam kes kanak-kanak dapat duit raya hari tu pula), mykoleksi difahamkan mereka yang sudah mendapat nombor giliran BNM boleh beratur semula untuk mendapat nombor giliran lain pula walaupun tangan sudah dicop. Adakah ini adil?

mykoleksi tak boleh 'hadam' dengan apa yang cuba dilaksanakan oleh pihak BNM ketika itu, cop pada tangan pula mudah untuk ditanggalkan. Mungkin pihak BNM perlu belajar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang bab-bab dakwat ni, sebulan lebih kesan 'dakwat pilihanraya' masih ada dijari telunjuk.

Tangan Salah Seorang Pembeli yang Sudah dicop oleh Pihak BNM Setelah Mendapat Nombor Giliran BNM- sumber gambar: Facebook

Pandangan mykoleksi berkaitan isu potong barisan, nombor giliran BNM dan cop:

Isu potong barisan:
  1. Masalah potong barisan dapat dielakkan sekiranya pihak BNM memantau lebih awal lagi pembeli yang datang ke Sasana Kijang. Minta mereka yang bertugas (Polis Bantuan atau staff BNM) untuk datang lebih awal pada hari tersebut dan sediakan sarapan pagi percuma kepada mereka supaya lebih motivasi (boleh minta sedikit peruntukan daripada hasil lelongan wang kertas dan duit syiling peringatan yang lepas-lepas).
  2. Mengadakan lorong khas untuk pembeli beratur dengan 'dibantu' oleh petugas tambahan sementara iaitu KON dan PEMBAHAGI atau yang besesuaian supaya pembeli yang 'nakal' tidak berani untuk potong barisan.
  3. Pihak BNM boleh memohon bantuan staff bahagian lain (jika dirasakan perlu) bagi sama-sama membantu pada hari jualan supaya proses jualan dapat dijalankan dengan lancar (pihak BNM boleh sediakan sijil penghargaan kepada staff yang membantu).
  4. Polis Bantuan hanya diberikan peranan untuk mengawal pembeli dan membuat pemeriksaan pembeli yang sedang beratur, ini dapat menjadikan mereka lebih fokus dan 'happy' bila bekerja. Kalau tak buat kerja juga, suruh mereka pergi keluar kira kereta yang lalu lalang dihadapan Sasana Kijang supaya mengajar apa erti fokus.
Isu nombor giliran BNM dan cop:
  1. Berapa kali pembeli sanggup beratur untuk mendapatkan nombor giliran BNM rasanya tidak menjadi masalah kerana tidak ada had dinyatakan dengan jelas oleh pihak BNM.
  2. Isu mengupah orang untuk tolong beratur bagi mendapatkan nombor giliran pula adalah perkara biasa yang sering berlaku dan diluar kawalan. Selagi ada pihak yang sanggup memberi upah untuk seseorang beratur, perkara ini tidak dapat dikawal.
  3. Tidak ada syarat-syarat yang dinyatakan oleh pihak BNM yang warga asing atau bukan pengumpul (penjual atau pelabur Numismatik) tidak dibenarkan beratur untuk membeli wang kertas dan duit syiling peringatan yang dijual.
  4. Sepatutnya cop pada tangan perlu mengunakan dakwat yang tahan lama (seperti yang digunakan oleh SPR) dan guna warna dakwat yang berbeza sebagai contoh: beratur kali pertama (merah), kali kedua (biru) dan kali ketiga (oren). Barulah pihak BNM dan pembeli lain mudah untuk buat 'kawat cam'.
Pada pukul 10.00 pagi pembeli mula dibenarkan masuk untuk membeli wang kertas dan duit syiling peringatan, seorang pembeli dihadkan oleh BNM hanya boleh membeli: 
  1. Wang kertas RM60 MRR x 5
  2. Duit syiling Pertabalan Agong XV x 1
  3. Duit syiling Ulang Tahun ke-60 Arkib x 1
Had Membeli yang ditetapkan oleh Pihak BNM - sumber gambar: Facebook

Peroses pembelian berlaku agak perlahan mungkin disebabkan hanya 3 kaunter jualan sahaja dibuka oleh pihak BNM untuk melayan jumlah pembeli yang dianggarkan seramai 1500 orang (termasuklah yang beratur lebih sekali).

Jam menunjukkan lebih kurang pukul 1.00 petang, mykoleksi rasanya tidak sampai 300 orang pembeli mendapat giliran mereka untuk membeli. Ini menunjukkan pertanda yang kurang baik, nampak gayanya macam tidak sempat untuk habiskan semua nombor giliran tersebut kecuali pihak BNM sanggup bekerja lebih masa.

Semasa proses jualan sedang berjalan tiba-tiba pihak BNM melalui seorang pegawainya telah membuat pengumuman yang pemegang nombor 801 hingga 1500 dikehendaki datang semula ke Sasana Kijang pada 7 Julai 2018 (Sabtu) untuk membuat pembelian. Kaunter jualan mula dibuka pada pukul 10.00 pagi hingga 4.00 petang.

Pengumuman Terkini oleh Pihak BNM - sumber gambar: Facebook

Adakah pengumuman ini menjadi pertanda yang baik atau buruk? Sama-sama kita tengok apa yang berlaku pada 7 Julai nanti

Pada pandangan mykoleksi berkenaan cara pembelian wang kertas dan duit syiling peringatan pada kali ini
  1. Bagus, sekiranya dari awal lagi pihak BNM membuat pengumuman rasmi di laman sesawang (website) BNM untuk meminta bakal pembeli mengisi borang pembelian di pautan https://duit.bnm.gov.my
  2. Kenapa? berdasarkan pemerhatian mykoleksi, pihak BNM sepatutnya boleh menjangka sambutan pembeli untuk jualan pada kali ini mungkin 'PANAS' kerana ada kaitan dengan berita Gabenor Muhammad Ibrahim Menawarkan Diri untuk Meletakkan Jawatan Sebagai Gabenor
  3. Sekiranya sambutan jualan 'suam-suam kuku' sekali pun, sekurang-kurangnya pembeli dapat menjimatkan masa mereka untuk beratur bagi mendapatkan nombor giliran BNM.
  4. Jadi, cara yang lebih selamat dan menjimatkan masa adalah dengan membuat persediaan awal bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku seperti potong barisan dan dapat mengelak wujudnya nombor giliran HARAM.
  5. Dengan data yang disi oleh bakal pembeli di https://duit.bnm.gov.my, pihak BNM boleh memilih untuk melakukan perkara dibawah:
  • Buat undian untuk nombor giliran pembeli saja (sekiranya belum tetapkan had pembelian untuk ketiga-tiga wang kertas dan duit syiling yang bakal dijual pada 30 Jun 2018), atau
  • Buat undian untuk tentukan terus pembeli untuk setiap wang kertas dan duit syiling yang dijual (wang kertas MRR RM60 x 5, duit syiling Agong XV x 1 dan duit syiling ulang tahun ke-60 Arkib x 1)
Setidak-tidaknya, dengan perancangan yang baik ianya dapat melancarkan lagi proses jualan wang kertas dan duit syiling peringatan pada 30 Jun 2018 (Sabtu) tanpa sebarang masalah dan proses jualan dapat dibuat dengan pantas.

Tahniah mykoleksi ucapkan kepada mereka yang berjaya membeli dan dapat apa yang dihajati. Bagi yang belum sampai giliran untuk membeli harap bersabar, anda akan dilayan pada 7 Julai 2018 nanti.

Yang sentiasa memerhati walaupun tidak ada dilokasi,
mykoleksi

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute