Cari Post lain disini

Monday, December 18, 2023

Tempahan Duit Syiling Peringatan Bersempena dengan Ulang Tahun Ke-100 Universiti Pendidikan Sultan Idris

Embargo : Untuk siaran segera
18 Dis 2023

Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-100 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Duit syiling peringatan ini akan dikeluarkan dalam dua denominasi:

1. Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf)

Duit syiling berbentuk segi empat sama yang pertama di Malaysia ini diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 dan mempunyai berat 43 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual dengan harga RM440 sekeping. Sejumlah 1,000 keping telah ditempa.

2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Duit syiling yang diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain ini mempunyai berat 8.5 gram. Dengan nilai muka sebanyak RM1, duit syiling in akan dijual dengan harga RM16.50 sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempa.

Duit syiling peringatan ini juga tersedia dalam bentuk Set 2 dalam 1 untuk jualan pada harga RM495. Setiap set mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic. Sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelian.

Butiran terperinci mengenai duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran.

Reka Bentuk Duit Syiling

Reka bentuk duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:

1. Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf) – Bentuk Segi Empat Sama


Bahagian Hadapan – Bahagian hadapan duit syiling memaparkan bangunan Suluh Budiman yang tersergam di kampus UPSI Tanjung Malim sebagai latar bagi ukiran tiga dimensi pohon tembusu yang tumbuh di sekitar kampus tersebut. Bangunan dan pohon ini melambangkan permulaan bersejarah UPSI yang dahulunya dikenali sebagai Sultan Idris Training College (SITC). Tulisan “SAMBUTAN 100 TAHUN UPSI” dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling.

Bahagian Belakang – Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada sekeliling bahagian dalam olahan motif Loceng Agung, yang berbentuk bulatan hampir penuh. Loceng Agung digunakan pada awal penubuhan UPSI untuk menandakan masa bagi aktiviti utama yang diatur untuk para pelajar. Nilai muka “10 RINGGIT” pula dipaparkan pada bahagian kiri duit syiling dengan bayang Anak Kandung Suluh Budiman (gelaran mesra untuk graduan UPSI) pada bahagian kanan duit syiling. Logo rasmi UPSI100 versi berwarna turut dipaparkan dalam olahan motif Loceng Agung.

2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)


Bahagian Hadapan – Tulisan “UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS” dipaparkan pada sekeliling bahagian atas duit syiling dengan berlatarbelakangkan olahan motif Loceng Agung. Logo-logo UPSI dan gelaran terdahulu institusi, iaitu SITC, MPSI, dan IPSI, dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling.

Bahagian Belakang – Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada sekeliling bahagian atas duit syiling manakala nilai muka “1 RINGGIT” pula dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling. Logo rasmi UPSI100 dipaparkan dengan berlatarbelakangkan imej buku terbuka bagi melambangkan limpahan ilmu pengetahuan.

Jualan Duit Syiling Peringatan

Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu keping duit syiling perak sterling berwarna (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).

Orang ramai boleh membuat tempahan menerusi pautan duit.bnm.gov.my mulai 11:00 pagi Isnin, 18 Disember 2023 hingga 11:00 malam Isnin, 1 Januari 2024. 

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian Bank Negara Malaysia dan bukannya melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah. Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya. 
 
Lampiran: Spesifikasi Teknikal 


Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk 10% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Services Tax, SST).

Bank Negara Malaysia
18 Disember 2023

Sumber asal: www.bnm.gov.my

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute