Cari Post lain disini

Monday, May 9, 2016

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena dengan Ulang Tahun Yayasan Sabah ke-50

Pada hari ini, Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan Ulang Tahun Yayasan Sabah Ke-50. Yayasan tersebut telah diasaskan oleh Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun pada 10 Mei 1966 dengan matlamat untuk meningkatkan kedudukan sosioekonomi rakyat Sabah, terutamanya penduduk di kawasan luar bandar, melalui pelaksanaan pelbagai program pendidikan dan pembangunan ekonomi.

Spesifikasi duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:

1. Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (pruf)

Duit syiling berwarna pruf ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM212 sekeping. Sebanyak 500 keping sahaja ditempa.

2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic

Nilai muka duit syiling emas Nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM10.60 sekeping. Sebanyak 10,000 keping sahaja ditempa.

Semua duit syiling peringatan ini boleh didapati dalam set dua dalam satu, yang mengandungi duit syiling pruf perak berwarna dan pruf emas Nordic. Sebanyak 2,000 set akan dijual pada harga RM265 bagi setiap set.

Nota: Kesemua harga tertakluk kepada 6% GST.

Butiran terperinci mengenai spesifikasi kesemua duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran I.

Spesifikasi Teknikal Duit Syiling Peringatan Sempena Ulang Tahun Yayasan Sabah ke-50

Reka Bentuk Duit Syiling

Berikut ialah keterangan mengenai reka bentuk duit syiling peringatan tersebut:

1. Bahagian Hadapan Duit Syiling

Bahagian tengah duit syiling peringatan ini memaparkan imej dan persekitaran Menara Tun Mustapha, yang juga dikenali sebagai Menara Yayasan Sabah, serta perkataan “Ulang Tahun Ke-50” dan tahun “1966 - 2016” sebagai menandakan ulang tahun ke-50. Perkataan “YAYASAN SABAH” pula dipaparkan pada bahagian atas duit syiling.

2. Bahagian Belakang Duit Syiling

Perkataan “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan dipaparkan pada bahagian atas duit syiling, manakala nilai muka duit syiling tertera pada bahagian bawah duit syiling ini. Logo rasmi Yayasan Sabah dipaparkan di tengah-tengah duit syiling peringatan ini.

Reka bentuk keseluruhan duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran II.


Rekabentuk Duit Syiling Peringatan Sempena Ulang Tahun Yayasan Sabah ke-50

Lokasi Jualan

Duit syiling ini akan mula dijual pada 16 Mei 2016, di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (MAG), Pejabat-pejabat Wilayah Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching serta Cawangan Bank Negara Malaysia di Kuala Terengganu.
  
Bank Negara Malaysia
09 Mei 2016

Sumber asal: www.bnm.gov.my

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute