Cari Post lain disini

Thursday, August 1, 2019

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI

No Ruj : 08/19/02 01 Aug 2019 Embargo : Untuk Siaran Segera

Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Yang di-Pertuan Agong Keenam Belas pada 30 Julai 2019.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, telah mempersembahkan duit syiling peringatan ini kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 26 Julai 2019 di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Spesifikasi duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:

1. Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)

Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan akan dijual pada harga RM1,800 sekeping. Sebanyak 300 keping ditempa.

2. Duit Syiling Peringatan Perak (pruf)

Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.1 gram.  Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM200 sekeping. Sebanyak 1,500 keping ditempa.

3. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic

Nilai muka duit syiling emas Nordic ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM12 sekeping. Sebanyak 20,000 keping ditempa.

Terdapat juga duit syiling peringatan set dua dalam satu, yang mengandungi satu duit syiling perak pruf dan satu duit syiling emas Nordic pruf. Setiap set dijual pada harga RM230 dan terdapat 1,000 set sahaja.

Nota: Harga yang dinyatakan di atas adalah tertakluk pada cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kecuali duit syiling peringatan emas (pruf).

Butiran terperinci mengenai duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran I.

Reka Bentuk Duit Syiling

Berikut ialah keterangan mengenai reka bentuk duit syiling peringatan tersebut:

1. Bahagian Hadapan Duit Syiling

Potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling. Nama rasmi baginda "AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA'IN BILLAH" tertera di sekeliling potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Tarikh pertabalan dipaparkan di bahagian bawah potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI. Elemen dekoratif berupa corak payung 14 bucu yang terbuka melambangkan Baginda sebagai “payung yang menaungi” 14 buah negeri di Malaysia. Elemen ini dipaparkan di sekeliling potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

2. Bahagian Belakang Duit Syiling

Pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini memaparkan Jata Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Perkataan "PERTABALAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVI" tertera pada bahagian atas duit syiling, manakala nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan, dipaparkan di bahagian bawah duit syiling bersama-sama nilai muka duit syiling yang berkenaan. Nilai muka duit syiling dipaparkan di bawah Jata Rasmi, iaitu ‘100 RINGGIT' bagi emas pruf, '10 RINGGIT' bagi perak pruf dan '1 RINGGIT' bagi emas Nordic. Elemen dekoratif berupa corak payung 14 bucu yang terbuka dipaparkan di sekeliling duit syiling.

Butiran terperinci mengenai spesifikasi duit syiling peringatan ini ditunjukkan dalam Lampiran II.

Jualan Duit Syiling Peringatan

Bagi memberi peluang yang sama rata kepada orang ramai untuk membeli duit syiling peringatan edisi terhad ini, setiap orang hanya boleh membeli satu set dua dalam satu; satu duit syiling emas; satu duit syiling perak; dan maksimum tiga duit syiling emas Nordic. Orang ramai boleh membuat tempahan dan pembayaran secara dalam talian mulai 19 Ogos 2019. Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya. Untuk maklumat lanjut mengenai tempahan, pembayaran dan pengambilan duit syiling peringatan, sila layari laman sesawang Bank Negara Malaysia di http://www.bnm.gov.my mulai 19 Ogos 2019.

Lampiran I


Lampiran II





Bank Negara Malaysia
01 Aug 2019

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.

Sumber asal: http://www.bnm.gov.my

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute