Cari Post lain disini

Thursday, August 27, 2020

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Universiti Kebangsaan Malaysia Ke-50

 No Ruj : 08/20/07 27 Aug 2020 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia dengan sukacitanya mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun Universiti Kebangsaan Malaysia ke-50 (UKM50).

Duit syiling peringatan ini dilancarkan oleh Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yang Amat Mulia Tunku Laxamana Tunku Dato’ Seri Utama Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar pada 21 Ogos 2020 di UKM.

Berikut ialah spesifikasi ketiga-tiga duit syiling yang akan dikeluarkan:

1. Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (pruf)

Duit syiling ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.1 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM253 sekeping. Sebanyak 1,000 keping ditempa.

2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic (pruf)

Duit syiling dalam kemasan kilat ini diperbuat menggunakan tembaga dan beberapa logam lain dan berat setiap keping ialah 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM60.50 sekeping. Sebanyak 1,000 keping ditempa.

3. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Duit syiling dalam kemasan tanpa kilat ini diperbuat terutamanya menggunakan tembaga dan berat setiap keping ialah 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM13.20 sekeping. Jumlah tempaan adalah sebanyak 25,000 keping, termasuk 10,000 keping dalam bungkusan eksklusif yang dikeluarkan khas untuk dijual kepada pelajar dan alumni UKM. 

Duit syiling ini juga boleh didapati dalam set dua dalam satu. Set ini mengandungi satu duit syiling pruf perak berwarna dan satu duit syiling pruf emas Nordic. Setiap set dijual pada harga RM308 dan terdapat 1,000 set sahaja. Butiran terperinci mengenai kesemua duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran I.

Nota: Harga yang dinyatakan di atas adalah termasuk 10% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST)

Reka bentuk duit syiling

Berikut ialah keterangan mengenai reka bentuk duit syiling peringatan tersebut:

1. Bahagian Hadapan

Perkataan “SAMBUTAN JUBLI EMAS” dipaparkan di sekeliling bahagian atas duit syiling peringatan ini. Bahagian tengah memaparkan bangunan Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), iaitu mercu tanda UKM yang menandakan titik permulaan (pendaftaran) dan pengakhiran (konvokesyen) kehidupan pelajar di UKM. Mercu tanda tersebut diapit oleh reka bentuk geometri yang membentuk bahagian luar DECTAR bagi melambangkan pencapaian penting dan pemodenan UKM sepanjang 50 tahun penubuhannya. Misi UKM untuk mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dilambangkan melalui reka bentuk songket yang bermotifkan bunga kebangsaan iaitu Bunga Raya. Reka bentuk ini digunakan sebagai latar belakang bagi perkataan UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA dalam tulisan rumi dan Jawi. Tahun penubuhan dan ulang tahun ke-50 UKM (1970-2020) tertera sebagai imej pendam (latent image) yang boleh bertukar-tukar di bahagian bawah duit syiling.

2. Bahagian Belakang

Nama "BANK NEGARA MALAYSIA" sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini dipaparkan di sekeliling bahagian atas duit syiling. Logo rasmi sambutan jubli emas UKM jelas terpapar pada bahagian atas glob (globe) bagi melambangkan pengembaraan dan pencapaian ulung UKM yang telah mencapai taraf antara universiti terbaik dunia. Nilai muka dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling.

Jualan duit syiling peringatan

Bagi memberi peluang yang sama rata kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap pembelian akan dihadkan (satu set dua dalam satu, satu duit syiling perak berwarna (pruf), satu syiling duit emas Nordic (pruf) dan maksimum sehingga lima duit syiling emas Nordic (B.U)). Sekiranya terdapat tempahan yang berlebihan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya. Untuk maklumat lanjut mengenai tempahan, pembayaran dan pengambilan, satu pengumuman akan dibuat kepada orang ramai pada 25 September 2020.

Bank Negara Malaysia

27 Aug 2020

Sumber asal: https://www.bnm.gov.my

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute