Cari Post lain disini

Tuesday, May 5, 2020

Medallion Sempena Ulang Tahun Ke-60 Bank Negara Malaysia (BNM) Sebagai Bank Pusat

Medallion Sempena Ulang Tahun BNM Ke-60 Sebagai Bank Pusat

Medallion khas yang didatangkan dalam set 3 dalam 1 ini direka secara eksklusif sebagai cenderahati untuk kakitangan Bank Negara Malaysia (BNM) sempena ulang tahun ke-60 BNM sebagai Bank Pusat (1959 - 2019). 

Reka bentuk medallion tersebut telah menampilkan ukiran bangunan yang pernah diduduki atau menjadi ibu pejabat BNM sepanjang sejarah penubuhannya yang secara tidak langsung mengambarkan perjalanan dan perkembangan BNM sepanjang tempoh enam (6) dekad.

Pada bahagian belakang medallion tersebut pula, reka bentuk dan motifnya diilhamkan daripada tiga siri duit syiling yang pernah dikeluarkan oleh BNM semenjak penubuhannya.

Penerangan Dan Spesifikasi Teknikal Medallion

Medallion tersebut diletak dalam kotak eksklusif berserta dengan kad berwarna keemasan yang ada penerangan ringkas dan spesifikasi teknikal berkenaan medallion sempena ulang tahun ke-60 BNM sebagai Bank Pusat.

Medallion 1: Meletakkan Asas (Laying the Foundation)

Reka Bentuk Bahagian Hadapan Medallion 1

Rekabentuk medalion ini menampilkan bangunan Sultan Abdul Samad yang bukan sahaja ikon kemerdekaan negara tetapi juga bangunan pejabat BNM ketika pertama kali ianya dibuka pada 26 Januari 1959. Bangunan Sultan Abdul Samad telah menjadi ibu pejabat BNM selama sebelas (11) tahun sebelum berpindah ke bangunan BNM sekarang yang terletak di Jalan Dato 'Onn pada bulan Disember 1970.

Reka Bentuk Bahagian Belakang Medallion 1

Bahagian belakang medalion ini telah dihiasi dengan bangunan parlimen, bulan sabit, bintang dan ukiran motif bunga raya berkembar yang begitu sinomin dengan duit syiling Malaysia siri pertama.

Sepcifikasi Teknikal:
  • Bahan/Kandungan : Tembaga (Copper)
  • Garis Pusat (mm) : 40.70
  • Berat (g) : 28.70
  • Ketebalan (mm) : 2.85
  • Kilang/Tempat Tempaan : Kilang Wang BNM
  • Jumlah Tempaan (keping) : 3,200

Medallion 2: Pembinaan Keupayaan (Capacity Building)

Reka Bentuk Bahagian Hadapan Medallion 2

Medallion berbentuk segiempat ini pula mempamerkan ukiran ibu pejabat BNM, Kilang Wang BNM dan pejabat BNM cawangan lain yang dibina pada tahun 1960-an hingga 1990-an. Reka Bentuk bangunan tersebut bertepatan dengan era di mana BNM memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, selama bertahun-tahun BNM telah memberikan sumbangannya yang signifikan terhadap perkembangan dan keupayaan negara melalui peranannya dalam pelbagai institusi dan sistem kewangan untuk kemajuan ekonomi negara.

Reka Bentuk Bahagian Belakang Medallion 2

Ukiran Wau Bulan, Tepak Sirih, Gasing, Rebana Ubi, Keris berlatarkan songkek dan Congkak pula menghiasi bahagian belakang medalion sama seperti yang terdapat pada duit syiling Malaysia siri kedua bertemakan artifak-artifak bercorak budaya Malaysia. 

Spesifikasi Teknikal:
  • Bahan/Kandungan : Emas Nordik (Nordic Gold)
  • Ukuran (mm) : 45.00 x 27.00
  • Berat (g) : 28.10
  • Ketebalan (mm) : 3.10
  • Tempat/Kilang ditempa: Kilang Wang BNM
  • Jumlah Tempaan (keping) : 3,200

Medallion 3: Transformasi (Transformation)

Reka Bentuk Bahagian Hadapan Medallion 3


Medallion unik berbentuk bulat dan heksagon pada bahagian dalam telah menampilkan reka bentuk canggih dan moden bangunan BNM yang dibina di alaf baru. Ianya juga turut melambangkan transformasi BNM menjadi sebuah bank pusat yang termoden dan sentiasa memberi komitmen yang berterusan dalam melaksanakan mandat untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif bagi merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan

Reka Bentuk Bahagian Belakang Medallion 3

Motif dan reka bentuk bahagian belakang medallion ini diambil daripada duit syiling Malaysia siri ketiga iaitu Destar Siga, Motif Orang Asli, Bunga Melur dan Sulur Kacang yang menggambarkan keunikan Malaysia

Spesifikasi Teknikal:
  • Bahan : Tembaga Nikel (Copper Nickel)
  • Garis Pusat (mm) : 40.70
  • Berat (g) : 28.75
  • Ketebalan (mm) : 2.85
  • Kilang/Tempat Tempaan : Kilang Wang BNM
  • Jumlah Tempaan (keping) : 3,200

Bagi mykoleksi medalion sempena ulang tahun ke-60 BNM sebagai bank pusat ini sangat menarik jika kita dapat memilikinya sebagai koleksi peribadi tapi sayangnya medallion tersebut hanya dikeluarkan untuk diberikan sebagai cenderahati kepada kakitangan BNM sahaja. 

Jika kita lihat pada jumlah 3,200 tempaan, mykoleksi rasa berkemungkinan ada juga diantara kakitangan BNM tidak dapat memilikinya sebagai koleksi. Adakah medallion ini  boleh dikatagorikan sebagai RARE?

Tidak dapat memiliki medallion tersebut pun tak mengapa asalkan kita tahu yang medallion tersebut ada dan pernah dikeluarkan oleh pihak BNM. Sekiranya anda menjadi salah seorang yang berjaya memiliki medallion tersebut, sudah pasti anda berada dalam golongan yang bertuah. Simpanlah medallion tersebut sebagai koleksi yang menjadi kenangan anda sempena ulang tahun ke-60 BNM sebagai bank pusat.

Video Medallion Sempena Ulang Tahun Ke-60 BNM Sebagai Bank Pusat

Kad Ucapan Terima Kasih  BNM Kepada Kakitanganya Sempena Ulang Tahun Ke-60 BNM 

Video medallion sempena ulang tahun ke-60 BNM sebagai bank pusat tersebut mykoleksi ambil dari perkongsian En. Mohd Mahathir Mehat di rungan Facebook beliau. BNM siap bagi medallion berserta kad ucapan lagi untuk kakitangannya. Geram pulak mykoleksi melihatnya, kalau ada lebih mykoleksi pun nak juga. Terima kasih mykoleksi ucapkan kepada En. Mohd Mahathir Mehat kerana sudi berkongsi video tersebut (mykoleksi minta izin untuk "copy")

Diharap perkongsian mykoleksi kali ini dapat memberi manfaat kepada kita semua, sama-samalah kita doakan supaya BNM terus maju dengan cemerlang sebagai bank pusat.

Yang belum ada medallion BNM,
mykoleksi 

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute