Cari Post lain disini

Wednesday, September 4, 2019

Cadangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad Bekerjasama Dengan Bank Negara Malaysia Untuk Mengeluarkan Duit Syiling Peringatan Bersempena Ulang Tahun Ke-80 Penerbitan Akhbar Utusan Melayu

Akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! Bertarikh 20 - 22 Ogos 2019

Kita sudah sedia maklum yang pada 20 Ogos yang lalu rakyat malaysia telah dikejutkan dengan berita Utusan Melayu (Malaysia) Berhad akan menamatkan penerbitan dua akhbarnya (Utusan Malaysia dan Kosmo!) pada 21 Ogos 2019 kerana menghadapi masalah kewangan sehingga tidak mampu untuk menanggung kos operasi.

Turut difahamkan, ada sebilangan pekerja Utusan telah ditamatkan perkhidmatan melalui Skim Pemberhentian Sukarela atau VSS dan manakala yang masih berkhidmat pula menghadapi masalah tunggakkan gaji beberapa bulan.

Sejarah ringkas penubuhan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad,
  1. 29 Mei 1939 -  Utusan Melayu diperkenalkan dan Utusan Zaman diterbitkan edisi Ahad.
  2. Februari 1958 - pejabat Utusan Melayu telah dipindahkan ke ibu negara Kuala Lumpur.
  3. Pada tahun 1967, Utusan Melayu telah diperbadankan sebagai syarikat berhad awam di bawah Akta Syarikat, bernama Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.
  4. 1 September 1967 – Akhbar Utusan Melayu mula dikenali sebagai Utusan Malaysia dan mendapat penyenaraian di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur.
  5. Disember 2018 – Utusan Melayu (Malaysia) menghadapi masalah dan memberhentikan 800 staf melalui skim VSS.
Apa yang sedang dihadapi oleh Utusan sekarang, mykoleksi tidak mahu komen lebih-lebih nanti takut tersalah maklumat. Apa yang mykoleksi dan rakyat Malaysia boleh lakukan sekarang adalah berdoa supaya pihak pengurusan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dan juga pemegang saham dapat memikirkan satu solusi yang terbaik supaya dapat keluar daripada kemelut ini dan dipermudahkan segala urusan.

Akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! Masing-masing Berharga RM2.00 dan RM1.50 Bermula 23 Ogos 2019 

Pada 21 Ogos 2019, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir telah membuat pengumuman yang penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! akan diteruskan. Syarikat turut mengambil keputusan untuk menaikkan harga akhbar Utusan Malaysia daripada RM1.50 senaskhah kepada RM2.00 senaskhah manakala Kosmo! daripada RM1.00 kepada RM1.50 senaskhah mulai Jumaat ini (23 Ogos 2019).

Anda boleh baca sendiri komen warganet (netizen) di media sosial berkenaan kenaikan harga untuk kedua-dua akhbar tersebut, rasanya mykoleksi tidak perlu mengulasnya lagi. 

Hasil tinjauan mykoleksi di sekitar Putrajaya, boleh dikatakan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! boleh dikatakan habis dijual setiap hari. Teruskan sokongan anda supaya akhbar Utusan yang telah berusia 80 tahun pada 29 Mei 2019 lalu dapat terus memberi sumbangan kepada kita semua rakyat Malaysia.

Berbalik kepada tujuan asal artikel ini ditulis, sebenarnya mykoleksi ada satu cadangan yang dapat membantu dan seteruskan memberi dana kepada Utusan dalam usaha untuk syarikat tersebut terus “bernafas”.

Walaupun sumbangan hasil daripada cadangan mykoleksi ini nampak kecil bagi sesetengah pihak tetapi setidak-tidaknya keuntungan bersih RM257,750.00 dapat membantu untuk membayar tunggakkan sebulan gaji 86 orang staf Utusan yang bergaji RM3,000.00, itupun mykoleksi rasa sudah cukup bersyukur.

Apakah cadangan mykoleksi itu?

Memandangkan mykoleksi seorang "blogger" numismatik, sudah tentulah cadangan yang mykoleksi hendak kemukakan juga ada kaitan dengan dunia hobi numismatik.

Apabila mykoleksi melihat logo 80 tahun pada akhbar Utusan Malaysia, terlintas difikiran mykoleksi "kenapa pihak Utusan tidak mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena ulang tahun ke-80 penerbitan akhbar Utusan Melayu?".

Pada ketika itu mykoleksi tidak tahu yang Utusan sedang mengalami masalah kewangan.

Bagi menjayakan cadangan ini, pihak Utusan mestilah berkerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menghasilkan duit syiling peringatan tersebut memandangkan BNM memiliki kepakaran untuk menghasilkannya.

Lagipun pada tahun 2019, baru ada satu (1) sahaja pengeluaran duit syiling peringatan dikeluarkan oleh BNM iaitu Duit Syiling Peringatan Bersempena Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, perkara ini telah merencatkan pertumbuhan dunia hobi numismatik dalam menuju wawasan 2020.

Pihak Utusan dan BNM tidak perlu "pening kepala" untuk memikirkan reka bentuk dan lain-lain yang berkaitan dengan duit syiling peringatan tersebut kerana mykoleksi sudahpun menyediakannya, cuma apa yang diperlukan sekarang adalah "PERSETUJUAN dan KERJASAMA".

Penerangan berkenaan cadangan reka bentuk duit syiling peringatan bersempena ulang tahun ke-80 penerbitan akhbar Utusan Melayu adalah seperti dibawah:


1. Cadangan Reka Bentuk Duit Syiling

Reka Bentuk Duit Syiling

* Ilustrasi reka bentuk duit syiling peringatan bersempena ulang tahun ke-80 penerbitan Akhbar Utusan Melayu yang dihasilkan oleh mykoleksi mengunakan “Paint” dan “Microsoft Word”.

Berikut adalah keterangan mengenai reka bentuk duit syiling peringatan tersebut:

1.1. Bahagian Hadapan

Logo ulang tahun ke-80 penerbitan akhbar Utusan Melayu yang mula diterbitkan pada 29 Mei 1939 dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling bersama-sama tahun dan kata-kata "azimat" yang menjadi pegangan warga kerja Utusan kini  “1939 - 2019 PERJUANGAN & PENGORBANAN”. Bulatan emas yang ibarat seperti roda mengelilingi logo tersebut pula membawa maksud jatuh bangun utusan Melayu (Malaysia) Berhad dalam usaha menyampaikan berita dan maklumat kepada rakyat Malaysia. 

Perkataan "ULANG TAHUN PENERBITAN AKHBAR UTUSAN MELAYU” tertera pada bahagian atas duit syiling dan “MINDA RAKYAT” yang berada di bahagian bawah pula merupakan moto akhbar Utusan Malaysia kini serta diapit pula dengan gambar dua (2) “mata pena” sebagai simbolik pendapat yang dikemukakan secara bertulis kadangkala lebih berbisa dan tajam seperti mata pedang dalam membawa perubahan. 

1.2. Bahagian Belakang

Reka bentuk pada bahagian tengah duit syiling memaparkan logo rasmi syarikat “UTUSAN MELAYU (MALAYSIA) BERHAD” dan perkataan "BANK NEGARA MALAYSIA" yang berada di bahagian atas pula ditulis dalam ejaan rumi dan jawi merupakan pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan, manakala nilai muka duit syiling tersebut dipaparkan pada bahagian bawah.


2. Spesifikasi dan Harga Duit Syiling Peringatan   

Spesifikasi dan harga duit syiling peringatan adalah seperti yang berikut:

Spesifikasi dan Harga Duit Syiling Peringatan

Butiran dan penerangan berkenaan cadangan jenis duit syiling yang bakal dikeluarkan,

2.1. Duit Syiling Peringatan Emas (Pruf)

Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan Au999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram.  Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan akan dijual dengan harga RM1,800.00 sekeping, jumlah tempaan sebanyak 300 keping sahaja.

2.2. Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (Pruf)

Duit syiling berwarna (pruf) ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan Ag99.9 dan berat setiap keping ialah 40.7 gram, sebanyak 1,000 keping sahaja ditempa. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM230.00 sekeping. 

2.3. Duit Syiling Peringatan Tembaga (kemasan tanpa kilat)

Duit syiling kemasan tanpa kilat ini diperbuat daripada logam tembaga dengan ketulenan Cu99.9 dan berat setiap keping ialah 77.76 gram.  Nilai muka duit syiling ini ialah RM15 dan harga jualannya RM200.00 sekeping. Sebanyak 1,000 keping sahaja ditempa.

2.4. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic

Nilai muka duit syiling emas nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM12.00 sekeping dan ditempa sebanyak 20,000 keping.

2.5. Duit Syiling Peringatan Set Dua Dalam Satu 

2.5.1  Perak (berwarna) dan Tembaga

Sebanyak 500 unit duit syiling set dua dalam satu yang dijual dengan harga RM450.00 setiap set. Set ini mengandungi sekeping duit syiling perak berwarna (pruf) dan sekeping duit syiling tembaga kemasan tanpa kilat.

2.5.2  Perak (Berwarna) dan Emas Nordic

Sebanyak 500 unit duit syiling set dua dalam satu yang dijual dengan harga RM250.00 setiap set. Set ini mengandungi sekeping duit syiling perak berwarna (pruf) dan sekeping duit syiling emas nordic.

2.5.3  Tembaga dan Emas Nordic

Sebanyak 500 unit duit syiling set dua dalam satu yang dijual dengan harga RM230.00 setiap set. Set ini mengandungi sekeping duit syiling tembaga dan sekeping duit syiling emas nordic.

Nota: Kesemua harga yang dinyatakan di atas tidak termasuk SST.


3. Penjualan Duit Syiling Peringatan

Pihak Utusan boleh memilih samada untuk mengurusnya sendiri jualan atau berkerjasama dengan pihak BNM. Disini mykoleksi telah sediakan beberapa cadangan yang boleh dipilih oleh pihak utusan:

3.1. Diuruskan oleh pihak Utusan Melayu (Malaysia) Berhad

3.1.1. Membuka Kaunter Khas Jualan

  • Pihak Utusan boleh memilih untuk menjual duit syiling yang sudah siap ditempa oleh BNM secara terus dengan cara membuka kaunter khas jualan
  • Pengumuman penjualan duit syiling peringatan hendaklah dibuat sekurang-kurangnya 3 hari lebih awal daripada tarikh jualan. Ini akan memudahkan pembeli merancang cuti mereka untuk datang membeli duit syiling peringatan tersebut.
  • Apa yang penting, pihak Utusan mestilah mampu merancang dengan baik sebelum memilih cara jualan ini. Berdasarkan pengalaman mykoleksi, jika ianya tidak dirancang dengan baik berkemungkinan nanti akan mengundang pelbagai masalah dan merumitkan lagi proses jualan. 
  • Had tempahan mesti diletakkan bertujuan membolehkan mereka yang betul-betul berminat dapat membelinya sebagai koleksi.
Had Tempahan dan Harga Jualan BNM (RM)

  • Selain itu, had umur untuk membeli duit syiling peringatan juga mesti ditetapkan supaya tidak terjadi nanti bayi yang baru lahir dan memiliki MyKID atau passport dapat membelinya walaupun mereka belum mengetahui apa itu numismatik dan duit syiling peringatan. Cadangan had umur yang sesuai ialah 18 tahun dan ke atas.
  • Bagi melancarkan lagi proses jualan, kaunter jualan duit syiling peringatan boleh dibuka seperti cadangan dibawah:
Cadangan Kaunter Jualan Duit Syiling Peringatan

  • Semakan, aduan atau proses gantian duit syiling peringatan yang bermasalah hendaklah dilakukan sebelum pembeli meninggalkan kaunter jualan. Sebarang aduan atau rasa tidak puas hati selepas itu tidak akan dilayan.
  • Sekiranya pihak Utusan rasa cukup bersedia untuk mengadakan jualan secara membuka kaunter khas, bolehlah meneruskan dengan cara tersebut. 
  • Penjualan duit syiling peringatan dengan cara ini hanya dijalankan dalam tempoh sehari sahaja.  Oleh sebab itulah, perancangan yang teliti dan teratur mesti dibuat supaya proses jualan dapat dijalankan dengan sebaik mungkin tanpa sebarang masalah. 

3.1.2 Jualan Secara Atas Talian (Online)

  • Menjual duit syiling peringatan secara atas talian (online) juga salah satu langkah yang boleh diambil oleh pihak Utusan kerana anda sudah memiliki medium yang sesuai iaitu portal, "website dan "Facebook". 
  • Pengumuman jualan duit syiling peringatan hendaklah dibuat sekurang-kurangnya tiga (3) hari lebih awal daripada tarikh jualan.
  • Pihak Utusan juga mestilah meletakkan had tempahan untuk setiap pembelian duit syiling peringatan berserta bayaran penuh tempahan
  • Bagi memudahkan proses pembelian, bayaran boleh dibuat dengan menggunakan kad kredit/kad debit/kemudahan perbankan atas talian (online)
  • Nampaknya proses jualan dan bayaran boleh dibuat dengan mudah dan cepat tanpa sebarang masalah.
  • Jadual dibawah menunjukkan had tempahan dan cadangan harga jualan (RM)
Had Tempahan dan Cadangan Harga Jualan (RM)

  • Had umur untuk pembelian duit syiling peringatan juga mesti ditetapkan supaya tidak terjadi nanti bayi yang baru lahir dan memiliki MyKID atau passport dapat membelinya walaupun mereka belum mengetahui apa itu numismatik dan duit syiling peringatan. Cadangan had umur yang sesuai ialah 18 tahun dan ke atas.
  • Pandangan mykoleksi, jualan secara "online" duit syiling peringatan hanya sesuai dijalankan secara "siapa cepat, dia dapat (first come, first served)". 
  • Ini bermakna, pembeli mestilah bersedia membuat tempahan dan bayaran dengan segera dalam tempoh masa yang ditetapkan supaya dapat memiliki duit syiling peringatan tersebut sementara stok masih ada kerana jumlah keluaran adalah terhad
  • Mereka yang mempunyai akses "internet" sudah pasti berpeluang untuk memiliki duit syiling peringatan tersebut dengan mudah tetapi tertaluk kepada syarat diatas.
  • Selain itu, pihak Utusan juga perlu memikirkan cara terbaik bagaimana untuk membuat penghantaran duit syiling peringatan yang berjaya ditempah kepada pelanggan dengan selamat tanpa sebarang kerosakan atau masalah.
  • Hasil rujukan di "website" Pos Malaysia Berhad, tidak semua barangan boleh dihantar melalui pekhidmatan pos, anda boleh merujuk panduan daripada Pos Malaysia Berhad seperti dibawah:

Panduan Barangan yang Dilarang Untuk Pengeposan

  • Pihak Utusan sudah pasti TIDAK BOLEH menggunakan perkhidmatan mengepos dengan Pos Malaysia Behad kerana polisi syarikat tersebut tidak membenarkan mengepos "Wang Syiling, Wang Kertas, Bulion, Kad Kredit dan Instrumen Pembawa Boleh Niaga".
  • Tidak pasti pula samada syarikat pengeposan lain ada menyediakan perkhidamatan penghantaran barang dalam kategori duit syiling peringatan. Jika ada, pihak Utusan perlu memikirkan tentang beberapa parkara dibawah terlebih dahulu sebelum mengunakan perkhidmatan tersebut:
          a. Risiko kehilangan.
          b. Duit syiling rosak atau bermasalah semasa diterima pembeli.
          c. Proses gantian duit syiling rosak atau bermasalah mengambil masa.
          d. Tiada stok (terhad) dan gantian duit syiling tidak dapat dilakukan.

  • Pandangan mykoleksi, duit syiling peringatan tidak sesuai dihantar kepada pembeli dengan cara mengepos. Pembeli duit syiling peringatan kebanyakkan "cerewek" dan bermacam-macam kriteria mereka akan lihat sebelum menerima duit syiling peringatan tersebut yang biasanya dijadikan koleksi.

3.1.3. Tempahan Secara "Online" dan pengambilan di Kaunter Khas

  • Pada pandangan mykoleksi, cara ini sesuai dijalankan oleh pihak Utusan iaitu tempahan duit syiling peringatan secara atas talian (online) dan  pengambilan duit syiling peringatan pula diadakan dengan membuka kaunter khas. 
  • Pengumuman jualan duit syiling peringatan hendaklah dibuat sekurang-kurangnya 3 hari lebih awal daripada tarikh jualan.
  • Tempahan duit syiling peringatan oleh pembeli boleh dibuat dengan mudah kerana pihak Utusan sudah memiliki medium yang sesuai iaitu portal, "website" atau "Facebook".
  • Pihak utusan mesti mengadakan had tempahan untuk setiap pembelian duit syiling peringatan tersebut dan mestilah berserta bayaran deposit 50% daripada jumlah keseluruhan pembelian yang dibenarkan
  • Bagi memudahkan pembeli, bayaran boleh dibuat dengan menggunakan kad kredit/kad debit/kemudahan perbankan atas talian (online).
  • Nampaknya proses jualan dan bayaran boleh dibuat dengan mudah dan cepat tanpa sebarang masalah.
  • Jadual dibawah menunjukkan had tempahan dan contoh bayaran deposit 50%
 Had Tempahan dan Contoh Bayaran Deposit 50% 

  • Had tempahan perlu diletakkan bagi memberi peluang kepada semua orang yang berminat untuk memilikinya duit syiling peringatan tersebut. Jika tiada had tempahan, berkemungkinan besar mereka yang betul-betul berminat tidak akan dapat memilikinya nanti.
  • Sila rujuk contoh bayaran bayaran deposit 50% yang telah mykoleksi sediakan untuk mudah anda faham, baki bayaran yang selebihnya (lagi 50%) hendaklah dibayar semasa hari pengambilan duit syiling peringatan (sekiranya berjaya).
  • Deposit 50% yang dikenakan semasa proses tempahan bertujuan untuk mendisplinkan pembeli supaya serius dan bertangungjawab untuk setiap tempahan yang dibuat. 
  • Selain itu, had umur untuk membeli duit syiling peringatan juga mesti ditetapkan supaya tidak terjadi nanti bayi yang baru lahir dan memiliki MyKID atau passport dapat membelinya walaupun mereka belum mengetahui apa itu numismatik dan duit syiling peringatan. Cadangan had umur yang sesuai ialah 18 tahun dan ke atas.
  • Sekiranya tempahan melebihi jumlah pengeluaran duit syiling peringatan (sebab terhad), proses undian akan dijalankan bagi menentukan tempahan siapakah yang berjaya.
  • Dalam usaha untuk memastikan proses undian dijalankan secara adil dan telus, pihak Utusan dinasihatkan supaya menjemput pihak ketiga iaitu wakil setiap persatuan numismatik (jangan lupa jemput "blogger" mykoleksi sekali) untuk sama-sama menjadi saksi semasa proses undian dijalankan sambil diperhatikan dan direkod oleh juruaudit dalaman Utusan.
  • Pengumuman keputusan tempahan bagi yang berjaya akan diumumkan di laman sesawang (website) pada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti.
  • Setiap tempahan yang berjaya hendaklah diambil pada tarikh yang akan ditetapkan nanti, proses pengambilan duit syiling peringatan biasanya dibuat dalam tempoh masa seminggu termasuklah Sabtu dan Ahad.
  • Pembeli yang berjaya mestilah hadir sendiri ke tempat pengambilan duit syiling peringatan bersama pengenalan diri (contoh MyKAD). 
  • Menghantar wakil atau penanguhan untuk mengambil duit syiling peringatan TIDAK DIBENARKAN dan boleh dianggap TERBATAL atau TIDAK BERMINAT.
  • Sekiranya ada tempahan yang berjaya tetapi pembeli tidak mengambil tempahan, mykoleksi cadangkan pembeli tersebut disenarai hitam dan 10% daripada 50% bayaran tempahan (deposit) diambil sebagai denda dan kos proses. 
  • Bagi melancarkan lagi proses pengambilan, kaunter jualan duit syiling peringatan boleh dibuka seperti cadangan dibawah:
    Cadangan Kaunter Jualan Duit Syiling Peringatan

    • Semakan, aduan atau proses gantian duit syiling peringatan yang bermasalah hendaklah dilakukan sebelum pembeli meninggalkan kaunter jualan. Sebarang aduan atau rasa tidak puas hati selepas itu tidak akan dilayan.

      3.2. Pihak Utusan Bekerjasama Dengan Pihak BNM

      • Sekiranya pihak Utusan belum bersedia untuk menjual duit syiling peringatan tersebut bersendiri  mengikut cadangan yang mykoleksi telah kongsikan diatas, mungkin anda boleh bekerjasama daripada pihak BNM.
      • Pada pandangan mykoleksi, pihak BNM lebih berpengalaman dalam proses jual beli duit syiling peringatan, tidak salah sekiranya pihak Utusan berkerjasama dengan BNM dan tempahan boleh dilakukan melalui laman sesawang (website) https://duit.bnm.gov.my khas yang dibangunkan untuk tujuan  menjual duit syiling peringatan keluaran BNM.
      • Apabila ada kerjasama, sudah pasti keuntungannya hasil jualan duit syiling peringatan tersebut metilah dibahagikan mengikut apa yang telah persetujuan oleh kedua-dua belah pihak (Utusan dan BNM).

      Akhirnya selesai juga ringkasan artikel bertajuk "Cadangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad Bekerjasama Dengan Bank Negara Malaysia Untuk Mengeluarkan Duit Syiling Peringatan Bersempena Ulang Tahun Ke-80 Penerbitan Akhbar Utusan Melayu".

      Berdasarkan kiraan untung bersih yang mykoleksi telah sediakan dengan bantuan "Microsoft Excel", pihak Utusan akan mendapat keuntungan sebanyak RM257,750.00 daripada hasil jualan duit syiling peringatan tersebut.

      Mungkin ada kiraan atau lain-lain kos yang kurang tepat dan tidak diambil kira sekali tetapi setidak-tidaknya mykoleksi telah mencurahkan idea untuk pihak Utusan mendapat sumber dana dalam usaha untuk keluar daripada masalah kewangan yang sedang dihadapi sekarang.

      Jumlah keuntungan RM257,750.00 tersebut dapat membayar tunggakan gaji sebulan bagi 86 orang staf Utusan yang bergaji RM3,000.

      Anggaran Kiraan Untung Bersih

      Adakah cadangan ini tidak berbaloi untuk dicuba oleh pihak Utusan?

      Mencuba tidak salah tetapi jika tidak mencuba itulah yang menjadi salah, mykoleksi yakin ramai peminat hobi numismatik dan rakyat Malaysia akan membeli duit syiling peringatan bersempena ulang tahun ke-80 penerbitan akhbar Utusan Melayu keluaran BNM sebagai tanda sokongan disamping boleh dijadikan sebagai koleksi peribadi.

      Sesungguhnya akhbar Utusan Malaysia (Utusan Melayu) memiliki sejarahnya yang tersendiri dalam memperjuangkan KEMERDEKAAN MALAYSIA (MALAYA) suatu ketika dahulu. 

      Kita sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum rasa berterima kasih diatas usaha dan perjuangan yang dilakukan oleh Utusan Malaysia bermula 29 Mei 1939.

      Sekarang, keputusan berada ditangan pihak Utusan, mykoleksi hanya mampu memberikan cadangan sahaja.

      Yang memberikan cadangan,
      mykoleksi

      No comments:



      Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

      Harga Spot Gold Terkini

      GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute